Monday, December 6, 2010

KHADEEJAH binti KHUWAYLID r.a - IBU KEBENARAN PERTAMA

Rasulullah Saw bersabda:"Khadeejah, ini Jibril. Dia memerintahkan aku memberi 'SALAM' kepadamu dan mengucapkan selamat kepadamu di dalam Syurga yang penuh kenikmatan dan tiada lagi kepayahan".

Khadeejah r.a menjawab: "Allah adalah pemberi Salam (kedamaian), sejahtera ke atas Jibril dan semoga kesejahtera dan rahmat Allah bersamamu Ya Rasulullah"

Khadeejah r.a pernah menjalin perkahwinan sebelum beliau mengahwini Rasulullah Saw. Beliau adalah IBU KEPADA KEBENARAN yang pertama. Khadeejah r.a adalah seorang wanita hartawan yang sangat berketerampilan dan mempunyai status yang hebat di mata kaum Quraish. Penampilannya menawan setiap hati para pembesar Quraish dan menyebabkan ramai dari mereka yang cuba untuk memilikinya.

Namun, Allah mempunyai perancangan Yang Maha Besar terhadap individu ini dalam pembesaran pengaruh agamaNya kepada umat manusia. Dalam keramaian yang nyata menghadirkan pelbagai bangsawan dan hartawan Arab Quraish, yang rata-ratanya mengagumi keperibadian Khadeejah r.a, tidak Allah gerakkan hatinya sedikitpun kecuali terhadap seorang hamba Allah yang sangat hebat. Khadeejah r.a tertawan dengan berita seorang pemuda yang sangat jujur, ikhlas dan baik perilakunya. Setelah di siasat dan bertanya kepada Maysarah (orang gajiannya), Khadeejah r.a mengetahui bahawa pemuda yang hebat itu adalah Muhammad Saw. Khadeejah r.a dikhabarkan juga berkenaan kehebatan Muhammad Saw berdagang dan bagaimana Baginda meraih begitu banyak keuntungan ketika pemergiannya dalam usaha perdagangan ke Syria. Khadeejah r.a benar-benar tertawan kepada Muhammad Saw (dengan kehendak Allah).

Pada usia 40 tahun, Khadeejah r.a bertindak menghantar seseorang bagi menyatakan hasratnya untuk menjadi isteri dan memperhambakan dirinya kepada Muhammad Saw. Rasulullah Saw menyambutnya dengan senang hati dan mereka pun melangsungkan perkahwinan. "Selamat Pengantin Baru Wahai Rasulullah Saw".

Hidup mereka aman damai dan sangat bahagia kerana mempunyai keperibadian yang hampir sama. Mereka dikurniakan dengan 2 orang putera, yang pertama diberi nama Al-Qasim bersempena dengan salah satu nama panggilan yang agak terkenal bagi Rasulullah Saw dan putera keduanya pula dinamakan Abdullah At-Tayyib (yang juga dikenali sebagai At-Tahir). Malangnya, kedua-dua putera Baginda wafat ketika masih bayi.

Selepas Muhammad Saw dilantik sebagai Rasulullah Saw, Baginda dan Khadeejah dikurnaikan pula dengan 4 orang puteri yang masing-masing dinamakan (mengikut turutan): Zaynab, Ruqayyah, Umm Kulthoom dan Fatimah r.a.

Kehebatan Khadeejah r.a, wanita yang bergelar IBU KEBENARAN PERTAMA ini terlihat sepanjang hayatnya sejak Baginda Rasulullah Saw dilantik Allah Swt sebagai RasulNya sehinggalah beliau (Khadeejah r.a) wafat, ia menyebabkan puteri-puterinya menangisi pemergiannya sehingga menyebabkan Rasulullah Saw turut bersedih dan bermuram durja. Baginda kehilangan teman hidup dan isteri yang sentiasa menjadi penyokong setianya. Di nota ini akan saya nukilkan pelbagai aspek kehebatan Khadeejah r.a sepanjang hayatnya bersama Rasulullah Saw

Rasulullah Saw lebih suka menyendiri dan kerap beralih pergi dari orang-orang yang materialistik, yakni orang-orang yang suka bercerita tentang kehebatan dunia berbanding akhirat. Baginda sering berkunjung ke Gua Hira di Jabal ar-Rahmah dan setiap kali pemergiannya ke Gua Hira, Khadeejah r.a akan membekalkan Baginda makanan dan minuman kegemarannya. Baginda akan berada di sini buat beberapa hari dan malam bersendirian lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Satu hari semasa Baginda berada di Gua Hira, Baginda telah didatangi oleh Malaikat Jibril a.s. Jibril menyampaikan wahyu pertamanya kepadanya "Iqraq Bismirabbiqallazi Qhallaq...". Rasulullah Saw tiba-tiba seolah tertekan dan merasa keliru apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepadanya. Rasulullah Saw bergegas kembali kepada Khadeejah r.a dan menyampaikan apa yang telah berlaku kepadanya di Gua Hira itu.

Bermula dari sinilah, kehebatan Khadeejah r.a sebagai Ibu Kebenaran yang Pertama dipamirkan oleh Allah Swt. Khadeejah r.a tanpa ragu-ragu terus mempercayai apa jua yang diceritakan Rasulullah Saw kepadanya. Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang mempertikaikan kesetiaan dan keimanan Khadeejah r.a. Mereka berpendapat Khadeejah r.a beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hanya kerana Khadeejah r.a ingin terus kekal bersama suaminya yakni Rasulullah Saw. Rupanya, fenomena 'bersangka buruk' ini telah sekian lama wujud.

Mari kita selusuri babak-babak keimanan Khadeejah r.a sebagai bukti bahawa Khadeejah sebenarnya telah dipilih Allah Swt untuk menjadi manusia pertama beriman kepada-Nya pada zamannya setelah Baginda Rasulullah Saw sendiri. Ketika Rasulullah Saw tiba di rumah sekembalinya dari Gua Hira, Baginda kelihatan kebingungan dan amat takut dengan kejadian yang menimpa dirinya."Selimutkan aku, selimutkan aku..." seru Rasulullah Saw kepada Khadeejah r.a. Khadeejah r.a dengan segera menyelimutkan Rasulullah Saw sehinggalah keadaan Baginda kembali tenang.

"Aku bimbang sesuatu mungkin akan berlaku kepadaku" ujar Rasulullah Saw lagi. Khadeejah r.a kemudiannya memberi reaksi balas terhadap ketakutan yang dialami Rasulullah saw. "Jangan bimbang, tidak mungkin Allah akan mempengapa-apakan kamu wahai suamiku. Kamu sering melayan keluargamu dengan baik, melayan tetamumu dengan rasa hormat, membantu mereka yang sedang dalam kesusahan dan membantu pula mereka yang ditimpa musibah".Kenyataan Khadeejah r.a itu jelas menunjukkan bahawa beliau adalah wanita yang sangat matang dan tahu akan kebaikan Rasulullah Saw. Kenyataan itu juga turut mengambarkan bahawa Khadeejah r.a adalah seorang wanita yang dapat menilai antara yang benar dengan tidak benar dan bukan seorang yang membuat pertimbangan secara membuta tuli.

Kesungguhan iman Khadeejah r.a dalam Islam juga terlihat apabila dalam satu insiden yang diriwayatkan dari Aishah r.a bahawa pada ketika Rasulullah Saw dan Khadeejah r.a sedang duduk berduaan melihat langit dan bumi, di antara keduanya (langit dan bumi itu) ada satu lembaga, Rasulullah Saw memberitahu kepada Khadeejah r.a apa yang sedang dilihatnya.Baginda menyatakan bahawa Baginda sedang diperhatikan sesuatu. Khadeejah r.a yang melihat Rasulullah Saw sedang dalam ketakutan itu meminta supaya Rasulullah Saw merapati dirinya dan tatkala Rasulullah saw telah berada rapat dengan Khadeejah r.a, beliau bertanya"Apakah tuan ku masih melihat lembaga itu?" "Ya" jawab Rasulullah Saw. Walaupun nyata Khadeejah r.a tidak dapat melihatnya, namun beliau tetap yakin dan percaya bahawa Rasulullah Saw memang sedang berhadapan dengan satu situasi yang tidak pernah dialaminya sebelum itu. Khadeejah r.a kemudian menyuruh Rasulullah Saw bersembunyi di dalam kainnya lantas bertanya "Apakah tuan masih nampak lembaga itu?". Rasulullah Saw memberi reaksi negatif kepada Khadeejah r.a bahawa Baginda tidak lagi nampak lembaga itu. Khadeejah r.a bingkas bangun dan berkata bagi menenangkan Rasulullah Saw "Tenang Wahai Rasulullah Saw, lembaga itu pastinya Malaikat, jika ianya adalah Syaitan, sudah tentulah dia tidak malu" (yakni, untuk melihat Rasulullah Saw dalam kain seorang wanita).

Dengan kasih sayang dan kepintaran Khadeejah r.a itu tadi, Rasulullah saw kembali tenang. Khadeejah r.a membuktikan bahawa dia bukan sebarangan wanita. Dia memang seorang yang jelas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dia memang telah dipilih Allah Swt untuk mendampingi seorang manusia yang paling hebat di muka bumi ini. Khadeejah r.a memang layak digelar IBU kepada KEBENARAN yang PERTAMA.

Dalam satu insiden lain pula, ketika Rasulullah Saw pulang dari pertemuannya dengan Jibril a.s, Baginda lantas memberitahu kepada Khadeejah bahawa Jibril a.s datang mengajarnya bersolat. Tanpa ragu-ragu Khadeejah r.a minta agar Rasulullah Saw mengajar apa yang diajarkan Jibril kepadanya. Beliau mengikuti Rasulullah Saw mengambil wuduk dan kemudian bersolat bersama Baginda. Selesai solat Khadeejah terus melafazkan: "Aku naik saksi bahawa Muhammad Saw itu pesuruh Allah"

Ibn Hajar menyatakan dalam bukunya: "Ini adalah riwayat tepat yang saya temui tentang penerimaan Islam dalam diri Khadeejah r.a". Menurutnya lagi Ibn Ishaq berkata: "Khadeejah r.a adalah manusia pertama yang menyakini dan mempercayai (beriman) dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah Saw. Allah telah menyempurnakan ketenangan bagi Baginda dengan kehadiran Khadeejah r.a dalam hidup Baginda. Rasulullah Saw tidak pernah mendengar sebarang kata-kata yang menyinggung perasaannya sepanjang hidupnya bersama Khadeejah r.a".

Bahtera kehidupan mereka berdua diteruskan dalam kekalutan ombak dan badai yang melanda kehidupan mereka berdua di dalam usaha Rasulullah Saw untuk menegakkan kebenaran. Kapten bahtera ini (Muhammad Saw) sedang mengemudi manusia kepada kebenaran Allah dengan penuh ketabahan, kesabaran dan berserah sepenuhnya kepada Allah Azzawajala. Apabila sahaja Baginda merasa lelah tidak bersemangat kerana cabaran desiran angin taufan yang melanda dek kerana penolakan kebanyakan manusia, Khadeejah r.a. lah yang membantunya. Khadeejah r.a banyak membantu dalam membangkitkan semangat Rasulullah Saw dalam berdakwah. Khadeejah banyak tersenyum bagi merestui perjuangan suaminya, kekasih Allah. Khadeejah r.a jugalah yang sering memberi kata semangat agar Rasulullah Saw tabah menjalankan perintah Allah Swt dalam menyebarkan Islam sebagai agama yang suci. Kehebatan sokongan Khadeejah r.a ini telah diiktiraf Allah Swt dengan menghantar Jibril a.s kepada Rasulullah Saw dan kemudian Baginda bersabda kepada Khadeejah r.a.

Rasulullah Saw bersabda:"Khadeejah, ini Jibril. Dia memerintahkan aku memberi 'SALAM' kepadamu dan mengucapkan selamat kepadamu di dalam Syurga yang penuh kenikmatan dan tiada lagi kepayahan".

Khadeejah r.a menjawab: "Allah adalah pemberi Salam (kedamaian), sejahtera ke atas Jibril dan semoga kesejahtera dan rahmat Allah bersamamu Ya Rasulullah"

Khadeejah a.s juga menghabiskan keseluruhan hartanya bagi menyokong usaha Rasulullah Saw dalam dakwah yang diperintahkan Allah kepada Baginda. Khadeejah juga menunjukkan komitmennya terhadap mereka (orang-orang yang baru memeluk Islam) yang rata-ratanya adalah orang miskin.

Aishah r.a juga turut mengakui kehebatan wanita yang bernama Khadeejah r.a ini. Aishah berkata: "Rasulullah Saw jarang keluar rumah tanpa menyebut kebaikan Khadeejah r.a". Sehingga pada suatu ketika Aishah r.a tidak lagi mampu membendung rasa cemburu terhadapnya (walhal, Khadeejah r.a ketika itu telah lama wafat). Satu hari, Aishah menyatakan sesuatu kepada Rasulullah Saw:"Bukankah beliau (Khadeejah r.a) seorang wanita tua yang telah Allah gantikan dengan wanita yang lebih baik untukmu?". Kenyataan Aishah ini benar-benar telah membangkitkan kemarahan Rasulullah Saw, lantas Baginda bersuara: "Tidak, tidak sama sekali. Allah tidak pernah mengantikannya dengan sesiapapun yang lebih baik. Ini kerana dia (Khadeejah r.a) mempercayai aku tatkala semua tidak mempercayaiku. Dia menyerahkan semua hartanya kepadaku bilamana yang lain enggan menghulur bantuan kepadaku dan Allah telah mengurniakan anak-anak kepadaku darinya, sedangkan aku tidak memperolehi seorang anak pun dari wanita lain". Mendengar hujahan Rasulullah Saw itu, Aishah tidak lagi berani mempertikaikan atau memburuk-burukkan Khadeejah r.a. sejak dari itu.

Pada suatu hari, Khadeejah r.a gering dan tidak lama kemudian Khadeejah r.a telah kembali Kerahmatullah. Keadaan ini menjadikan Rasulullah Saw sangat bersedih hati manakala anak-anaknya pula tidak dapat menahan tangisan. Kematian Khadeejah adalah merupakan detik paling menyedihkan Rasulullah Saw. Baginda dan anak-anaknya kehilangan seorang isteri dan ibu yang amat penyayang. Kehilangan Khadeejah r.a nyata telah menyebabkan Baginda Rasulullah Saw bermuram durja. Keadaan ini mengambil tempat yang agak lama sehingga ketika Khawlah binti Hakeem berkata: "Ya Rasulullah Saw, kehilangan Khadeejah benar-benar telah membuat kamu berdukacita sejak sekian lama". Rasulullah Saw menjawab "Ya, dialah Ibu dalam rumahku dan menjadi wanita yang bertanggungjawab terhadap keluargaku". Jawapan Rasulullah Saw kepada Khawlah ini bukti jelas bahawa pengorbanan Khadeejah r.a sangat dihargai Rasulullah Saw.

Apakah masih ada wanita yang MAMPU menjadi isteri sebagaimana Khadeejah r.a? Ikutilah jejak beliau jika anda ingin menjadi seorang isteri yang diredhai Allah. Taat dan patuhlah kepada suami jika dia seorang yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Sekian - TAMAT (diambil dari NOTA -http://www.facebook.com/fbadry)

1 comment: